Web sokong Azizah, kecam Chandra
Sebuah laman web reformasi hari ini menyatakan kegembiraan terhadap sikap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Wan Azizah Ismail yang bersedia mendengar pandangan ahli-ahli akar umbi.
"Kami merasa lega bahawa keluhan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi akan diambil perhatian serius," kata pengendali laman Mahafiraun 2020 kepada malaysiakini awal pagi ini. Laman itu menyifatkan mereka berdua sebagai "pemimpin kanan gerakan reformasi".
Dalam laporan malaysiakini sebelum ini, Anwar dan Azizah berkata mereka menghargai sumbangan laman-laman web reformasi dan bersedia mendengar rungutan dan teguran daripada penyokong reformasi.
Dalam satu kenyataan berasingan yang dipaparkan dalam laman [#1] web KeADILan[/#] hari ini, Azizah berkata: "Kita tetap menghargai peranan dan sumbangan laman-laman web yang sekian lama memperjuangkan cita-cita pergerakan reformasi untuk mewujudkan masyarakat yang adil lagi telus. Kita harap pengurus-pengurus laman-laman web yang masih mendukung reformasi tetap akan bersama-sama kita dalam perjuangan."
Bagaimanapun, Mahafiraun yang menggunakan lambang kepala Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad itu, tetap mengecam pemimpin yang digelarkannya "bersifat Mahafiraunisme."
"Sifat Mahafiraunisme yang diamalkan oleh Dr. Mahathir tidak wajar diturut dan wajib dihindari," kata pengelola web itu tanpa merujuk mana-mana pemimpin dalam KeADILan.
Namun, dipercayai kecaman itu ditujukan kepada Timbalan Presiden parti itu, Dr Chandra Muzaffar, seperti dalam satu kenyataannya kepada media Sabtu lalu.
Dalam kenyataan itu, Chandra menyebutkan beberapa sumbangan beliau, termasuklah "mendapatkan paling banyak kerusi parlimen" bagi KeADILan untuk pilihan raya umum November lalu dan juga berjaya memujuk Barisan Alternatif menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
"Pemimpin yang terbaik bukannya pemimpin yang mendabik dada sambil membariskan "kejayaan" dan "jasa" masing-masing, tetapi pemimpin yang tunduk kepada kehendak rakyat," katanya lagi.
Mahafiraun menyertai empat laman web reformasi - Laman Reformasi , Komentar , Pemantau dan Black 14 - mendesak perletakan jawatan Chandra dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir atas alasan gagal menghayati reformasi seperti dicetuskan oleh Anwar.
Mereka menutup capaian ke laman masing-masing mulai hari Rabu lalu.

