PAS mahu Menteri Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Datuk Shahrizat Jalil, hadir sama di majlis pertemuan antara Jawatankuasa Bertindak Wanita NGO dengan Jawatankuasa Penggubal Draf Undang-Undang Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu pada 15 Jun ini untuk membolehkan beliau turut sama berdialog mengenai draf tersebut.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, berkata majlis itu diadakan khas untuk menjawab persoalan dari pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan draf undang-undang yang dikatakan menzalimi wanita tersebut.

"Kami menyediakan platform untuk mereka bersuara, termasuklah Shahrizat. Jika dia tak mahu datang, jadi beliau tak payahlah bersuara (dalam perkara ini)," kata Dr Lo' Lo' dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Majlis tertutup itu anjuran Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP).

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia DPPP, Ahmad Sabki Yusof, Ahli Jawatankuasa PAS, Pusat Dr Mariah Mahmud dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh. Jemputan kepada semua pihak sudahpun diedarkan pagi tadi.

Menurut Lo' Lo', PAS berharap jawatankuasa bertindak NGO tidak hanya bersuara dari jauh melalui media tetapi gagal berdepan dengan pihak berkenaan.

"Oleh itu, pihak penganjur amat mengharapkan kehadiran pihak jawatankuasa NGO terbabit memandangkan wakil jawatankuasa penggubal, iaitu Mutalib Embung dan Harun Taib, telah mengesahkan kehadiran mereka di majlis tersebut," katanya.

Tahanan ISA

Pihak-pihak yang mempersoalkan draf undang-undang tersebut, kata Lo' Lo', sepatutnya faham dan yakin dengan keadilan hukum Hudud.

"Isu tersebut tidak akan timbul jika mereka mempunyai kefahaman. Shahrizat, sebagai seorang peguam, sepatutnya tentulah lebih faham akan perkara ini," katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan keprihatinan Shahrizat dalam memperjuangkan isu wanita dengan mempersoalkan tindakan beliau berhubung kes seorang ibu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Pernahkah beliau (Shahrizat) bertanya tentang kebajikan anak-anaknya yang tidak bersalah itu?" soal Lo' Lo'.

Beliau juga berkata penggubal draf undang-undang tersebut bersedia untuk menyemak segala kelemahan teknikal yang ada, seperti penggunaan terma-terma tertentu.

"Oleh itu, kami amat berharap agar pihak-pihak yang dijemput, akan menghadiri majlis tersebut agar salah faham mengenainya dapat diperbetulkan," katanya.

Antara pihak lain yang menentang draf undang-undang ini ialah Sisters in Islam dan 12 NGO lain, dengan mendakwa adanya peruntukan-peruntukan tertentu yang menzalimi wanita, terutamanya mangsa rogol.