Rakyat berhak debat isu negara Islam secara terbuka
Rakyat berhak diberi kebebasan untuk membahaskan secara terbuka isu-isu berkaitan pembentukan negara Islam dan tidak menghadnya kepada "pakar-pakar" tertentu sahaja, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).
"Sebarang debat mengenai isu itu harus diadakan secara terbuka di mana-mana sahaja, sama ada melalui media massa, majlis dialog atau ceramah," kata setiausaha agung jawatankuasa penaja PSM, S Arutchelvam dalam satu kenyataan hari ini.
"Sebarang debat mengenai isu itu harus diadakan secara terbuka di mana-mana sahaja, sama ada melalui media massa, majlis dialog atau ceramah," kata setiausaha agung jawatankuasa penaja PSM, S Arutchelvam dalam satu kenyataan hari ini.
"PSM menganggap langkah membincangkannya secara tertutup, akan hanya meneruskan budaya elitisme yang sekian lama menjangkiti kepimpinan politik di Malaysia sama ada oleh parti kerajaan atau dipihak pembangkang.
"Apabila semua pihak memberi pandangan mereka tentang isu ini, rakyat boleh mengkaji semua pendapat dan membuat pendirian sejauh manakah komitmen sesebuah parti dalam usaha mereka memperkasakan rakyat," katanya.
Tambahnya, jika debat mengenai negara Islam hanya menumpu kepada soal retorik, ia tidak akan mencapai hasrat melahirkan masyarakat demokratik yang menentang penindasan terhadap rakyat dan pekerja.
Kesaksamaan dan sekularisme
Arutchelvam berkata pihaknya bersetuju dengan tindakan Parti Rakyat Malaysia membantah penubuhan apa-apa bentuk negara teokratik di mana pemerintahnya adalah dari satu agama sahaja.
"Asas parti ini adalah sosialisme, iaitu meletakkan rakyat kepada kuasa utama, dan bukannya elit tertentu, sama ada golongan kapitalis atau agama, atau mana-mana kumpulan yang tidak mewakili kepentingan rakyat terbanyak," katanya.
Menurutnya, apa juga matlamat perjuangan sesebuah parti politik, ianya mestilah bertujuan untuk membela dan memelihara nasib setiap lapisan rakyat.
Katanya, PSM adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan untuk memberi alternatif kepada seluruh rakyat Malaysia untuk befikir dan bertindak berdasarkan amalan demokrasi, keadilan, kesaksamaan dan sekularisme.
"Jika rakyat di ketepikan, PSM menganggap soal negara Islam atau bentuk pemerintahan lain, hanyalah omong kosong," katanya.
Selasa lalu president PRM Dr Syed Husin Ali telah menegaskan pendirian PRM menolak idea "negara theokratik" di Malaysia yang rakyatnya berbilang bangsa.
Syed Husin berkata PRM berpegang kepada ajaran "tiada paksaan dalam agama" dan berpendapat pemerintah daripada satu agama, tidak boleh memaksa seluruh masyarakat untuk menerima sistem pemerintahan berasaskan ajaran agama tersebut.
Syed Husin membuat kenyataan itu sebagai mengulas ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor yang menghuraikan "prinsip-prinsip kerajaan Islam" ketika berucap di Muktamar PAS di Kelantan minggu lalu.

