Barisan Alternatif sentiasa bersikap terbuka dan semua parti komponennya bebas untuk menerangkan mengenai ideologi perjuangan mereka, termasuk PAS dalam isu penubuhan negara Islam, kata Ahli Majlis Tertinggi Keadilan, Khalid Jaafar.

"Kita tidak mengongkong mana-mana pihak dan tiada siapa yang akan dihukum kerana berlainan pendapat. Ianya satu perkara yang sihat. Politik hegemoni tidak ada tempat dalam BA," kata Khalid kepada malaysiakini.

Beliau percaya perbezaan pendapat tidak akan menjejaskan kerjasama antara parti komponen BA yang dicerminkan melalui penggunaan manifesto pilihanraya bersama yang dilancarkan pada bulan Ogos 1999.

"Walau apapun perbezaannya, kita masih berpandukan manifesto itu yang akan dikembangkan dalam pilihanraya akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan akhbar Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Syed Husin Ali yang menegaskan pendirian PRM menolak idea "negara theokratik"di Malaysia yang rakyatnya berbilang bangsa.

Syed Husin berkata PRM berpegang kepada ajaran "tiada paksaan dalam agama" dan berpendapat pemerintah daripada satu agama, tidak boleh memaksa seluruh masyarakat untuk menerima sistem pemerintahan berasaskan ajaran agama tersebut Syed Husin membuat kenyataan itu sebagai mengulas ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor yang menghuraikan "prinsip-prinsip kerajaan Islam" ketika berucap di Muktamar PAS di Kelantan minggu lalu.

Tiada paksaan

Mengulas lanjut mengenainya, Khalid berkata kenyataan Syed Husin bukanlah satu serangan terhadap PAS ataupun Fadzil, sebaliknya, pemimpin PRM itu cuma membentangkan persepsi masyarakat bukan Islam dan orang Islam sederhana, tentang penubuhan negara Islam.

"Saya rasa beliau tidak mahu kenyataan Datuk Fadzil itu disalahtafsirkan oleh mana-mana pihak kerana ini boleh menjejaskan perjuangan BA. Dan Datuk Fadzil pula cuma memberi pendapat tentang konsep negara Islam dan tidak lebih dari itu,"katanya lagi.

Tegasnya, isu konsep negara Islam tidak penting bagi Keadilan yang lebih berminat menumpukan perhatian dalam memperjuangkan satu negara adil, saksama dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Cuma, kebetulan, objektif-objektif Keadilan serasi dan tidak bertentangan dengan idealisma Islam terutamanya dalam konsep keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia," tambahnya.

Sementara itu, Fadzil ketika dihubungi berkata, sebarang keputusan tentang konsep pemerintahan PAS hanya akan dibuat selepas rundingan bersama diadakan dengan parti komponen dalam BA jika ia memenangi pilihanraya umum akan datang.

"Sebelum kita umum kepada rakyat prinsip-prinsip asas kerajaan PAS, kita akan membentangkannya kepada majlis BA. Kita akan tengok kesan dan reaksi rakan lain dalam BA.

"Mereka tidak perlu risau. Mesti ada perbincangan sebelum kita buat apa-apa. Bukankah itu yang telah dijanjikan bersama. Jadi perkara ini tidak patut timbul," katanya lagi.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Syed Husin bahawa tiada paksaan dalam Islam, sambil menegaskan bahawa PAS tidak akan akan menggunakan paksaan terhadap sesiapapun dalam hal berkenaan.

"Saya sudah cakap banyak kali, kita tidak akan paksa sesiapapun untuk terima cara kita," kata Fadzil yang juga bersetuju dengan seruan Syed Husin supaya parti komponen BA dan pembangkang lain berhenti "serang-menyerang" dalam isu negara Islam.