Pucuk pimpinan PAS hari ini digesa supaya menimbang cadangan supaya orang bukan Islam diterima menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu dalam usaha 'melunakkan' hubungannya dengan masyarakat lain di negara ini.

Cadangan itu yang dikemukakan oleh wakil dari Kelantan, Nik Mohd Amar Abdullah turut disokong oleh wakil Terengganu, Nawawi Salleh ketika membahaskan ucapan presiden dalam muktamar PAS ke-48 di Kota Bharu, Kelantan.

Kedua-duanya menyatakan harapan mereka agar pucuk pimpinan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan itu agar ia menjadi satu kenyataan.

"Atau setidak-tidaknya, sediakan saluran alternatif untuk membolehkan bukan Islam mendekati PAS dan tidak menyifatkan parti itu sebagai musuh mereka," tegas Nawawi.

Katanya, pimpinan PAS perlu membuka seluas mungkin ruang untuk membolehkan rakyat bukan Islam dapat memahami parti itu secara lebih dekat lagi.

Muktamar yang masuk hari keduanya telah digunakan oleh para perwakilan untuk mengemukakan isi hati mereka terhadap perkara dan 'tingkahlaku' pemimpin PAS yang tidak disenangi mereka.

Bagaimanapun, pengerusi persidangan, Abu Kassim Abdullah dan timbalannya, Wan Rahim Abdullah berjaya menenangkan keadaan melalui gurauan dan madah mereka yang menghiburkan para perwakilan.

Peluang terlepas

Sementara itu, wakil dari Johor, Mazlan Aliman, telah membidas sesetengah pemimpin PAS yang enggan menerima jemputan untuk berceramah di negeri itu atas alasan tidak mendapat permit polis.

Menurutnya, antara mereka ini termasuklah wakil rakyat PAS yang menolak jemputan itu dengan alasan "susah untuk menjaga kawasan kalau ditahan pihak berkuasa".

Katanya, keadaan itu amat mengecewakan ahli PAS di Johor yang sanggup ditahan pihak berkuasa semata-mata untuk meneruskan perjuangan parti.

Mazlan juga menegur jawatankuasa penerangan PAS yang dianggapnya tidak berbuat apa-apa untuk mengambil peluang daripada isu-isu semasa yang boleh menguntungkan parti itu.

Sebagai contoh, katanya, jawatankuasa berkenaan tidak langsung menggunakan isu penyelewengan wang Lembaga Tabung Haji untuk menarik simpati rakyat supaya menyokong pembangkang.

Berikutan itu beliau mencadangkan agar jawatankuasa penerangan menubuhkan badan khas untuk menguruskan aktiviti-aktiviti penerangan berhubungan isu-isu semasa yang boleh menguntungkan parti.

"Antara sebab utama PAS berjaya menawan Kelantan dan Terangganu ialah hasil gerakan penerangan yang intensif bagi menawan hati rakyat menyokong parti itu," katanya.

Beliau juga menegur pihak pengurusan lidah rasmi PAS, Harakah, yang menurutnya kini seakan-akan sudah menjadi seperti akhbar media perdana yang lain.

Malah, katanya, lidah rasmi PAS pula telah menyiarkan rencana-rencana yang merugikan PAS sendiri, sehingga menjadi bahan untuk musuh politik PAS 'menyerang' parti itu.

Sebagai contoh, katanya, rencana yang ditulis oleh Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Rustam Sani, terang-terang memuji ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sewaktu memberi ucapan perdana di Dewan dan Pustaka (DBP), pada malam Palestin baru-baru ini.

"Sebaliknya, Rustam menyifatkan ucapan Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, pada malam itu, sebagai 'hanya membaca sejarah' sahaja," tambahnya

Kenyataan akhbar

Sementara itu, wakil Dewan Pemuda PAS, Misbahul Munir Masduk, mengingatkan pucuk pimpinan PAS supaya lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan akhbar, agar ianya tidak memberi kesan negatif kepada parti.

Sebagai contohnya, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang pucuk pimpinan PAS (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang mengalu-alukan rancangan pertemuan Mahathir dengan Paus John Paul bulan depan.

"Walaupun dalam hal tertentu kita menyokong kenyataan yang dibuat oleh pucuk pimpinan, tetapi pada masa yang sama, kita harus berhati-hati agar ianya tidak diputarbelitkan oleh musuh politik kita," katanya.

Pandangan beliau turut disokong oleh wakil Kedah, Datuk Muhamad Muslim yang juga mahu pemimpin tertinggi parti supaya mengumumkan kepada Jawatankuasa Pusat apa juga perkara yang hendak dilakukan yang membabitkan kepentingan parti.

Sebagai contohnya, kata Muhamad, beliau difahamkan dalam kes pertemuan Fadzil dengan Mahathir sewaktu ucapan perdana di DBP, presiden PAS itu telahpun memberi persetujuannya sebelum memaklumkannya kepada jawatankuasa pusat.

Dalam sedemikian, katanya, pemimpin PAS itu berada dalam keadaan serba-salah, jika tidak menghadiri perjumpaan majlis berkenaan, tetapi selepas menghadirinya, isu itu telah dimainkan oleh Umno untuk menarik sokongan rakyat

Bagaimanapun, wakil Perak, Zulkarnian Hassan pula meminta ahli-ahli PAS supaya lebih bersikap terbuka dalam isu berkenaan kerana, beliau percaya, ia akan memberi faedah jangka panjang kepada parti itu, dalam memenangi hati rakyat di negara ini.