Selain mempertahankan kerusi-kerusi yang telah dimenanginya, PAS yakin Barisan Alternatif (BA) akan dapat menawan Kedah, Perlis dan Pahang dalam pilihanraya umum akan datang.

"Saya juga tidak akan terperanjat sekiranya kita juga berjaya di Selangor dan Perak," kata Presiden PAS Datuk Fadzil Noor ketika merasmikan Muktamar PAS ke-48 di Kelantan hari ini.

"Kerjasama pembangkang yang mantap juga boleh membantu mengalahkan BN di Pulau Pinang. Saya juga yakin di lain-lain negeri, BA akan membuat kejutan berdasarkan prestasi baik kita di sana," tambahnya.

Di peringkat pusat, katanya, parti komponen BA terus menjalin hubungan yang akrab dan sedang merangka strategi bersama untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

"Perkara yang melibatkan organisasi BA sedang diperkemaskan, manakala manifesto serta pembahagian akan diselesaikan secepat mungkin bagi memudahkan kita menghadapi pilihanraya dengan yakin.

"Pengalaman kerjasama kita dalam pilihanraya lalu banyak membantu melicinkan kerjasama ini dan akan menjadi asas kepada kerjasama selanjut," tambah beliau.

Oleh itu, Fadzil menyeru pemimpin PAS dan parti pembangkang supaya menumpukan perhatian kepada musuh yang satu iaitu Barisan Nasional (BN) dan mengelak sebarang kontroversi yang boleh menguntungkan musuh bersama.

"PAS bersedia bemuzakarah dengan sesiapa sahaja bagi mencari titik pertemuan yang boleh dimanfaatkan bersama," katanya.

Percaturan BN

Mengenai spekulasi pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi, Fadzil berkata, agenda PAS dan BA tidak terikat dengan percaturan BN.

"Urusan pilihanraya tidak menunggu pembubaran Dewan-dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat.

"Gerak kerja yang diperluaskan bersama parti komponan BA mestilah dibudayakan sama ada di peringkat negeri, kawasan ataupun cawangan," tegasnya.

Dalam ucapannya yang bertemakan 'Memantap iltizam, menyemarak kebangkitan', Fadzil juga menyentuh mengenai nasib yang menimpa rakyat Palestin yang menjadi korban keganasan Israel.

Dalam hal ini, beliau berkata, kekejaman Israel itu telah meyakinkan umat Islam, khasnya bahawa rejim Zionis itu tidak akan dapat ditangani di meja perundingan tetapi dengan jalan jihad.

Isu meritokrasi

Mengenai isu meritokrasi pula, beliau berkata, tindakan melaksanakan sistem itu secara terburu-buru menyebabkan rakyat berbilang kaum mempersoalkannya kerana mendakwa ianya merugikan mereka.

"PAS tidak menolak mana-mana sistem yang memberi pengikhtirafan kepada kecermerlangan. Pelajar yang cemerlang mesti diberi peluang sebaiknya, tidak kira kaum mana," tambahnya.

Selain itu, PAS juga menolak pengenalan semula aliran Inggeris sebagai jalan mengatasi kelemahan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

"Saya yakin percubaan mengajar matapelajaran seperti matematik dan sains dalam bahasa Inggeris tidak akan mampu merubah kemahiran menguasai bahasa itu di kalangan pelajar kita selagi keperluan asas iaitu guru terlatih tidak disediakan dengan mencukupi," tambahnya.

Turut hadir di muktamar itu ialah Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Ismail, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Hussin Ali serta Presiden Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) Ustaz Ghani Shamsudin. Wakil kerajaan asing ialah dari kedutaan Amerika, Australia, Singapura dan Jepun, Yaman dan Indonesia