Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil kenyataan exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu sebagai saksi dalam kes dakwaan salahguna dana membabitkan pembantunya, Wong Chuan How bagi DUN Sungai Pelek.

Mereka mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengambil keterangan daripada Ronnie berhubung lapan dokumen yang dirampas oleh SPRM dari Wong sebelum ini.

Sungai Pelek yang diwakili MCA, telah dipilih menjadi DUN anak angkat Ronnie.

Ketika dihubungi Ronnie berkata, dokumen-dokumen tersebut adalah mengenai perbelanjaan di DUN tersebut, yang masing-masing membabitkan jumlah antara RM1,200 hingga RM5,000. Kesemunya berjumlah tidak melebihi RM20,000.

Katanya, siasatan SPRM adalah rapi, tetapi beliau yakin bahawa perbelanjaan tersebut dibuat secara telus kerana terdapat gambar, salinan kad pengenalan penerima dan baucer bayaran, sebagai buktinya.

Menurut Ronnie lagi, pegawai-pegawai SPRM yang mengambil keterangannya puas hati dengan jawapan yang diberinya.

Ronnie juga meminta SPRM supaya membersihkan segera nama Wong sekiranya siasatan mendapati tiada kes terhadapnya.

Wong, yang dikenakan ikatjamin SPRM, telah diminta hadir di pejabat SPRM Selangor pada 20 Oktober, tetapi kemudiannya diminta hadir semula pada tarikh yang sama bulan depan.

Pada 14 Ogos lalu, Wong mengalami kecederaan di kakinya ketika bergelut dengan anggota SPRM yang mahu menahannya.

Liu berkata, adalah tidak adil bagi kes itu berlarutan, kerana ia menghalang pembantunya untuk bergerak bebas.

Ini adalah kali kedua anggota SPRM datang ke pejabat Ronnie.

Sebelum ini, mereka merampas buku catatan pelawat ekoran dakwaan bahawa pejabat Ronnie selalu didatangi anggota kongsi gelap.

Sementara itu, Ronnie berkata, beliau tidak begitu bimbangkan kes Wong kerana terdapat bukti-bukti yang mencukupi untuk membuktikan bahawa tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Sebaliknya, beliau bimbang mengenai kes yang dihadapinya.

November lalu, Ronnie dihdapkan ke mahkamah atas tuduhan menghalang anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya daripada menjalankan tugas mereka sewaktu melakukan serbuan mencegah maksiat di sebuah hotel di Puchong pada 2007.

"Selepas hukuman dijatuhkan ke atas (ahli parlimen PKR) Tian Chua semalam, saya agak bimbang dengan kes saya itu," tambahnya.

Tian Chua dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 selepas didapati bersalah menggigit seorang anggota polis sewaktu satu perhimpunan pada 2007.

Jika Tian Chua gagal dalam rayuannya terhadap hukuman tersebut, maka beliau akan kehilangan kelayakannya sebagai ahli parlimen Batu.

Menurut undang-undang, seseorang wakil rakyat akan hilang kelayakannya jika dihukum penjara lebih dari 12 bulan dan didenda RM2,000.

Dalam kes Ronnie pula, jika didapati bersalah, beliau berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.