Penafian Dr Ling karut, kata Soh
"Beliau tahu yang kami mempunyai perhubungan perniagaan," kata Soh, 42 tahun, yang pulang ke tanahair Selasa lalu selepas tiga tahun berada di luar negara.
Katanya, beliau tidak berhasrat untuk "menyakit hati" Ling dan anaknya Hee Ling, "tetapi umum perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku".
Bila ditanya lanjut mengenai perkara itu, Soh menjawab: "Saya tidak berhasrat untuk bercakap mengenainya hari ini. Mungkin saya telah terlebih cakap."
Soh berkata, beliau memang tidak mahu bercakap apa-apa mengenai keluarga Ling sekiranya mereka tidak memburuk-burukkannya dalam mesyuarat dan melalui media, dengan membuat kenyataan provokatif yang memaksanya untuk membela diri.
Beliau mendakwa bahawa anak lelaki Ling telah membuat kenyataan dalam sebuah akhbar dan majalah berbahasa Cina, seolah-olah dia (Soh) seorang pembohong.
"Katanya, satu kesilapan terbesar dalam hidupnya ialah kerana tidak mengendahkan nasihat bapanya supaya jangan berkongsi perniagaan dengan saya," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat sebuah sekolah rendah Cina di Selangor.
"Jika saya tidak berkata sesuatu untuk menjelaskannya, umum akan mengandaikan bahawa saya menyembunyikan sesuatu, dan saya bersalah," katanya.
Anak didik Ling
Rabu lalu, ketika menolak spekulasi bahawa kepulangan Soh mungkin mengubah barisan kepimpinan tertinggi MCA, Ling berkata: "Saya tidak fikir begitu. Saya tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengannya, dan dia juga tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan saya."
Soh sebelum ini dianggap "anak didik" Ling dan menganggotai jawatankuasa pusat parti. Bagaimanapun, hubungan mereka retak selepas Soh menyaman Ling, anak dan menantunya sejumlah RM149 hasil jualan saham Linksun Avenue Sdn, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh Hee Liong.
Kes itu kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu.
Soh memberitahu pemberita yang beliau bersedia untuk membersihkan namanya, bukannya untuk membalas dendam terhadap sesiapapun.
Ditanya sama ada beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan bahawa beliau mempunyai urusan perniagaan dengan Ling, Soh berkata, beliau akan berbuat demikian apabila tiba masanya.
Bina hidup baru
Soh juga menafikan dakwaan yang mengatakan kepulangannya disokong oleh beberapa pihak dalam MCA.
"Ianya tidak benar. Saya pulang untuk membina hidup baru," katanya.
Apabila ditanya kumpulan manakah dalam MCA yang disokongnya, Soh berkata beliau akan menyokong mereka yang mengambil berat kepentingan dan aspirasi rakyat.
"Hati saya bersama Kumpulan B, tetapi saya tidak bekerja dengan mereka. Saya mendoakan mereka berjaya...begitu jugalah dengan Kumpulan A.."
Selasa lalu, Soh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua tuduhan menipu Omega Securities Sdn Bhd melibatkan lebih RM500,000, 000.
Hakim Suraya Othman yang mendengar kes itu membenarkan Soh yang diwakili peguam Ng Aik Guan dibebaskan secara ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.
Soh dikehendaki oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sejak 1999 berhubung kes penipuan yang dikatakan dilakukan terhadap Omega Securities Sdn. Bhd. SC mengeluarkan waran tangkap ke atas Soh pada 15 April 1999 manakala Interpol mengeluarkan hebahan amaran di seluruh dunia.
Semasa Soh meninggalkan negara ini, dia merupakan presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Promet Berhad, Pengarah Eksekutif dan CEO Plantation and Development Bhd dan Pengarah Urusan Kelanamas Bhd.

