Hari pertabalan: detik bermulanya kesedaran semula budaya sendiri
Suara seru Nobat Diraja Kedah dengan 13 anggota bersama dua gendang, satu nafiri perak putih, satu nafara kulit kijang, satu gong tembaga hitam dan serunai perak mengisytiharkan bahawa budaya Melayu tetap bermaruah dengan adunan modenisasi abad ke-21.
Biarpun dalam kecenderongan menjadikan agama sebagai alat politik dan penyekat kebebasan, pertabalan Seri Paduka Baginda adalah petanda martabat Melayu dan kesucian Islam yang sememangnya menjadi asas kemelayuan sejak zaman-berzaman tetap unggul.
Alunan irama Nobat Diraja Kedah hari ini turut menenggelamkan seketika gawat pemikiran Melayu yang sudah hanyut dibuai politik kepartian yang tak keruan, yang bersandarkan budaya asing Arab yang mahu dijadikan oleh sesetengah pihak sebagai ganti kepada adat resam Melayu.
Zaman raja mutlak sudah lama berlalu, namun pemerintah Raja Berperlembagaan yang berteraskan Demokrasi Berparlimen tidak pernah menghakiskan keindahan dan kemurniaan kemelayuan itu sendiri.
Bagi masyarakat Melayu yang selama ini sopan dan santun menerima pelawat, yang mana jutaan penziarah Tanah Melayu sejak 100 tahun lalu kini hidup berjiran sebagai warganegara yang setaraf dan sama hak, ia adalah lanjutan kekuatan budi dan akal bangsa.
Namun, di sebalik pukulan nafara, masih ada Melayu yang sudah lupakan asal-usul dan cuba menafikan wujudnya akal budi bangsa dengan mencipta slogan dan label agama. Arabisme yang cuba diperkenalkan lewat 20 tahun lalu sudah membuahkan hasilnya.
Kepimpinan sempit ulamak
Seperti buah terlajak ranum, Islam ala Timur Tengah hanya mampu melahirkan Afghanistan di bawah Taliban, Iran dikongkong kepimpinan sempit ulamak, Arab Saudi beraja mutlak dan berkuasa diktator, dan Pakistan berperlembagaan al-Quran dan Sunnah tetapi penuh pembunuhan, penyiksaan, penyelewengan dan penindasan kaum dan jantina.
Sedangkan Malaysia, dan juga Indonesia, masih tenang tanpa keganasan fizikal yang meragut nyawa. Malah, apa yang telah terjadi di beberapa wilayah Indonesia sebelum ini lebih merupakan pertentangan kaum daripada pertelingkahan agama. Seperti biasa agama hanya menjadi alat politik murahan kaum fanatik.
Hari ini sepatutnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, betapa budaya bangsa menjadi satu-satunya teras kehidupan. Mengapa perlu malu dengan bahasa sendiri dan cuba memartabatkan bahasa Arab yang jelas keasingannya itu?
Mengapa perlu segan dengan cara berpakai, bercakap, bergaul dan berjamah Melayu kerana diajar oleh segelintir manusia yang bencikan bangsa sendiri supaya menjadi Arab celup? Budaya itu teras kepercayaan. Agama umpama air, budaya adalah cangkirnya. Tanpa pengisi, tumpah ruah begitu sahaja.
Orang Melayu harus memikirkan semula: Mengapa Islam tidak perlu dipaksakan dengan mata pedang sebagaimana yang berlaku di benua-benua lain sewaktu pengembangan agama itu sejak 1,400 tahun lalu? Malah, sejak Parameswara memeluk Islam, apa-apa pertempuran dan peperangan hanya berkisar kepada soal kuasa, dan bukannya berintipatikan agama.
Mengapa kini harus ada puak-puak yang menjadikan agama sebagai senjata ampuh untuk menghancurkan bangsa sendiri? Apakah puak-puak fanatik ini mahu melihat Malaysia yang sudah wujud kefahaman dan kasih sayang sesama Melayu, Cina, India, Serani, Kadazandusun dan Iban itu menjadi padang jarak padang terkukur sebagaimana yang dialami oleh negara-negara umat Islam lain?
Orang Melayu masih di takuk lama dalam bidang ekonomi. Pendidikan juga belum mampu melahirkan Melayu yang benar-benar merdeka pemikiran dan kekuatan akademik. Jika tafsiran sempit agama mahu dijadikan kewajipan iman yang baru, ia akan menjadi petanda berakhirnya keMelayuan itu sendiri.
Politik murahan
Dentuman gendang berlapik paluan gong nobat bukan sesuatu yang boleh dilihat sesuka hati pada bila-bila masa. Ini warisan Melayu yang amat tinggi nilainya. Hanya pada hari pertabalan dan kemangkatan diraja, kedengaranlah tiupan serunai sayu (walaupun ada ketikanya dimainkan sewaktu hari keputeraan, berendoi dan persandingan diraja).
Jika kuasa kerdil politik Melayu sudah mula mengharamkan apa-apa sahaja yang dinamakan Melayu itu, petandanya sudah jelas. Kejelekan politik murahan semakin memakan diri. Di Kelantan sudah lebih satu dekad wayang kulit, makyong dan main puteri diharamkan.
Terengganu walau belum menyatakan pengumumannya, sudah diterima rakyat bahawa segala yang Melayu itu haram hukumnya, termasuk ulit mayang.
Proses pengAraban orang Melayu semakin jelas apabila kepimpinan negeri Kelantan menempelak perarakan Burung Petalawati sempenda Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 12 April lalu. Hukumnya khurafat kerana membina makhluk!
Walau tiada siapa percaya burung yang menjadi simbol kekuasaan Kelantan kuno itu menjadi sembahan penduduk negeri, kumpulan yang mendakwa ulamak sanggup menghina raja, adat dan resam sendiri kerana kejahilan asal-usul budaya.
Mungkin sebenarnya golongan yang mendakwa diri pakar agama di Kelantan malu untuk menerima hakikat bahawa Burung Petalawati itu simbol pemerintahan permaisuri di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Hikayat Puteri Saadong
Golongan yang mengisytihar diri ulamak dan pakar agama lelaki terasa aib yang amat sangat jika rakyat menyedari bahawa mereka suatu ketika dahulu pernah diperintah oleh wanita.
Malah, Puteri Saadong yang mengikut ceritanya diculik raja Siam, dengan muslihat akalnya berjaya kembali ke Kelantan. Tetapi apabila dilihat suaminya Sultan Abdullah sudah berkahwin lain, berlaku pertengkaran yang berakhir dengan pacak sanggul Puteri Saadong bersemayam di dada suaminya.
Kematian Sultan Abdullah meletakkan Puteri Saadong sebagai pemimpin utama, dan dia melantik anaknya Raja Rahim menjadi pemerintah Kota Mahligai di Kelantan. Apa pun, yang menjadi tulang belakang pemerintahan adalah seorang wanita yang keras dan tegas semangatnya.
Mungkin inilah yang cuba dipadamkan daripada sejarah Kelantan oleh puak-puak fanatik agama. Apatah lagi Puteri Saadong yang kecewa membawa diri selepas meletakkan anaknya di takhta, dikatakan mengisi masanya dengan makyong dan main puteri.
Biarpun hikayat Puteri Saadong boleh dipertikaikan sebagai sumber sejarah, namun rakyat Kelantan hidup dan mati dibuai syair wanita berani ini.
Burung Petalawati mungkin tidak boleh membangkitkan semangat sayang dan cintakan budaya Melayu ke seluruh rantau rumpun Melayu. Tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membuka tingkap minda Melayu yang sudah lama diresap pengaruh Arab celup yang semakin menjadi-jadi.
Malah, keterbukaan fikiran dalam menangani budaya Melayu harus menjangkau batas politik. Bagi pemerintah pusat, sikap acuh tak acuh agensi dan jabatan budaya dan seni terhadap budaya Melayu juga menambahkan lagi kekusutan masalah.
Budaya tampal-tampalan
Jika budaya dianggap sekadar tampal-tampalan dan alat kepada pelancongan sahaja, ia akan turut memakan diri budaya dari dalam.
Dengan selesainya paluan gong Nobat Diraja Kedah yang dipersembahkan oleh serumpun saudara keturunan kelapan, maka Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail ditabal sebagai waris penerus pemerintahan Raja Berperlembagaan. Seri Paduka akan bersemayam di Istana Negara.
Rakyat Malaysia pula kembali berjuang untuk mencari kehidupan yang lebih sempurna. Semoga alunan nafiri menjadi ingatan agar Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini masih dapat dikekalkan keharmoniannya, dan malah diperbaiki lagi, apabila orang Melayu kembali dengan kesopanan dan kesantunannya yang berlapik pula dengan sifat toleransi kaum dan agama.
Toleransi akan melahirkan pula semangat untuk memahami hasrat dan aspirasi kaum lain di negara ini. Apabila orang Melayu memahami adat, budaya dan agama kaum lain, pentas baru untuk memupuk perpaduan tulen lebih mudah terjalin.
Syaratnya cuma satu, orang Melayu harus kembali menjadi Melayu yang jujur dan terbuka dengan menghayati budaya bangsa sendiri, dan keyakinan diri ini akan membebaskan Melayu daripada sikap takut kepada orang lain dan sentiasa meminta perlindungan.
Biarkan orang Arab dengan budaya mereka. Orang Melayu harus menegakkan budaya sendiri, dan berkongsi hidup bersama kaum-kaum lain di bumi bertuah ini dalam suasana saling faham-memahami.
WAN HAMIDI HAMID ialah seorang wartawan bebas yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan menjangkau 15 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Berita Harian, The Star, The Sun dan Straits Times (Singapura).

