Parti pembangkang DAP hari ini mendesak menteri kanan Singapura Lee Kuan Yew supaya menjelaskan kedudukan sebenarnya berhubung dakwaan bahawa beliau pernah berniat untuk mengisytiharkan perang terhadap Malaysia.

Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh, berkata jika perkara itu tidak diperjelaskan oleh Lee, ia boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Lee, sewaktu menjadi perdana menteri Singapura, pernah menyatakan niatnya untuk mengisytiharkan perang ke atas Malaysia sekiranya bekalan air ke republik itu diputuskan.

Menurut Muhyiddin, Lee membuat ancaman itu pada awal 1990-an dalam satu mesyuarat membincangkan isu bekalan air, yang turut dihadirinya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin.

Pendedahan itu, kata Karpal, menunjukkan betapa pentingnya kedua-dua negara memberi keutamaan terhadap hubungan dua hala bagi mengelak timbul salahfaham yang boleh membawa kepada konflik ketenteraan.

Tidak mungkin Lee bergurau sewaktu membuat ugutan itu kerana air merupakan keperluan asas manusia. Lagi pula, Lee bukan seorang yang dikenali suka bergurau, kata Karpal dalam satu kenyataan hari ini.

Karpal berkata, Lee juga tidak memperlihatkan contoh yang baik apabila membuat ancaman seumpama itu terhadap Malaysia.

Saya juga hairan mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Muhyiddin sendiri tidak berbuat apa-apa terhadap ugutan Lee ketika itu, katanya.

Tindakan undang-undang

Sementara itu, setiausaha biro penerangan DAP, Gobind Singh Deo pula menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap Singapura supaya memberhentikan kerja penambakan laut di republik itu.

Bila wujud ancaman terhadap kedaulatan Malaysia, tindakan perlu diambil. Kerajaan tidak seharusnya mencadangkan pihak yang terjejas dengan projek penambakan laut itu mengambil tindakan terhadap Singapura, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas saranan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, supaya pihak yang terjejas akibat kerja penambakan itu, termasuk pengendali pelabuhan, mengumpulkan bukti bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Singapura.

Sebaliknya, Gobind menggesa Rafidah supaya mendesak Kabinet mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Singapura bagi menyelesaikan isu penambakan laut itu.

Hubungan Malaysia-Singapura menjadi tegang semenjak akhir tahun lalu atas kadar pembayaran air mentah oleh republik itu.

Menurut kerajaan Malaysia, kadar sekarang terlalu murah dan meminta agar ia dikajisemula.

Hubungan kedua-dua negara ini menjadi semakin tegang awal tahun ini berikutan tindakan Singapura menjalankan kerja penambakan laut yang dikhuatiri menjejaskan laluan kapal ke pelabuhan Tanjung Pelepas.