Jangan hentam kawan, DAP
Kini, tindak-tanduk politik DAP telah menjadi kontroversi, khasnya di kalangan penyokong-penyokong Barisan Alternatif yang pelbagai kaum. Walaupun ramai daripada mereka marah sangat dengan DAP selepas Indera Kayangan, saya berpendapat bahawa DAP, jika sudi berreformasi sendiri, boleh dapat semula sokongan rakyat jelata yang cenderung kepada BA.
Yang mustahak sekali ialah DAP mesti bezakan kawan dan lawan dengan sejelas-jelasnya. Di situasi politik semasa tanahair, Keadilan, PAS, PRM, BA, penyokong-penyokong BA yang berketurunan Cina dan pemimpin-pemimpin DAP sendiri bukanlah musuh DAP yang sebenar.
Kami adalah saudara-saudari yang seperjuangan, walaupun kadang-kala kami berbeza pendapat. Cara menangani perbezaan pendapat di kalangan kawan tidak sepatutnya dibesar-besarkan atas nama 'kebebasan bersuara'. DAP adalah sebuah parti politik, bukan kelab berdebat.
Apa yang dihujahkan oleh pengerusi DAP, Lim Kit Siang selepas pilihanraya kecil Indera Kayangan adalah amat dikesali dan tidak diingini, sekiranya DAP terus harap mendapat undi penyokong-penyokong Keadilan dan BA yang terdiri daripada pelbagai kaum.
DAP sepatutnya menumpukan tenaga politiknya terhadap musuh politik rakyat yang sebenar, iaitu Umno dan MCA. Tidak wajarlah DAP membuang masanya untuk menghentam Keadilan, PAS ataupun PRM kerana ini akan menghilangan tenaganya sehingga MCA boleh dapat walkover di pilihanraya yang akan datang. Mangsa itu adalah DAP sendiri.
Siapa boleh tolong DAP jika DAP tidak membantu sendiri dengan mereformasikan organisasi dan cara berpolitiknya? Siapa boleh selamatkan DAP jika DAP lawan sedunia, termasuk pemimpin-pemimpinnya sendiri, tanpa kawan-kawan? Dengan sepatah dua kata ini, saya harap DAP akan merancangkan masa depannya dengan nilai-nilai yang positif dan progresif.

