Izinkan saya merujuk kepada surat Lunasian yang bertajuk, Kerana prinsip DAP turut jadi mangsa (23 Jan).

Sebagai seorang penyokong Barisan Alternatif yang benar-benar berkempen kuat di pilihanraya kecil Lunas, saya berpendapat bahawa DAP tidak jujur dan tidak berprinsip sekali.

Beratus-ratus penyokong BA yang bertungkus-lumus berkempen di Lunas memang marah kerana sikap yang tidak bertanggungjawab ini.

DAP tidak menolong BA di pilihanraya kecil Lunas sehingga saat-saat yang terakhir selepas ianya dipaksa oleh pendapat umum masyarakat Tionghua untuk berbuat demikian.

Sebab utama DAP tidak mahu menolong BA kerana ia sombong dan tidak mengambilkira situasi semasa.

Di Indera Kayangan, kami telah melihat dengan lebih jelas sekali bahawa DAP cendorong menyokong hujah-hujah Umno dan MCA menentang Keadilan dan BA.

Pemimpin-pemimpin DAP yang ingin memberi bantuan diberi amaran terbuka di suratkhabar.

Selepas pilihanraya kecil Indera Kayangan, pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyerang Keadilan lebih hebat daripada MCA dan Umno.

Di manakah semangat bersatu-padu di antara DAP dan parti-parti pembangkang yang lain? Sudah jelas sekali bahawa DAP kini menganggap BA dan Keadilan sebagai musuh yang lebih 'penting' daripada Umno dan MCA.

Bolehkan DAP menyalahkan rakyat jelata dan penyokong BA atas gambaran bahawa DAP ini sebenarnya agen Umno dan BN?

Bolehkah kita percaya DAP sekali lagi? Jawapan saya: tidak. Biarlah kita "lawan tetap lawan" tanpa DAP yang cuma pandai berpolitik oportunis.