Kenyataan Pak Lah: "Tiada Budaya Samseng dalam Umno" dalam agendadaily.com adalah semata-mata taktik perhubungan raya yang menafikan kenyataan untuk meredakan imej Umno yang telah tercemar.

Dari Sabah sampai ke Perlis, hakikatnya ialah Umno memang berbudayakan samseng - mengugut, memaksa, menyakiti rakyat dan para pengundi secara mental, emosi dan fizikal - adalah saling tak tumpah budaya samseng.

Laporan demi laporan polis dibuat, khususnya di Indera Kayangan dengan bukti yang jelas, bahawa Umno bersikap samseng dan mencederakan orang lain.

Sewajarnya sebagai pemimpin, wajiblah Pak Lah menasihati para pemuda dan wanita Umno yang bertabiat sedemikian untuk mematuhi peraturan-peraturan pilihanraya dan bersikap lunak kepada semua orang.

PakLah sepatutnya memberi amaran kepada ahli-ahli Umno agar peristiwa pukul-memukul tidak boleh berulang dan tetap dengan kesopanan dalam hubungan sesama manusia walaupun dari parti yang bertanding.

Tapi oleh kerana Umno memang menegakkan budaya samseng, maka Pak Lah tidak akan mengaku budaya itu wujud dalam Umno. Umno bertahan kerana budaya samsengnya. Sekiranya di benarkan proses demokrasi berjalan lancar, Umno sudah lama terkubur. Umno telah gagal samasekali melahirkan Melayu yang dinamik, progresif, berwibawa dan mampu bersaing dengan dunia luar.

Sebahagian faktor yang menyumbang kepada kegagalan tersebut ialah kerana kepincangan akhlak sebahagian besar para pemimpin Melayu yang lebih mementingkan diri, keluarga dan sahabat masing-masing dari rakyat jelata.

Sikap negatif itu telah mengalihkan pandangan dan tumpuan mereka dari pembinaan masyarakat Melayu yang berkualiti kepada membina empayar kuasa dan kemewahan mereka sendiri.

Harapkan pagar, pagar makan padi. Nampaknya, rakyat jelata tak dapat menumpang harap kepada pemimpin Umno yang disangsikan kata-kata mereka.