Cerminlah diri sebelum menuduh
Memanglah ini peranan dan fungsi penting media arus perdana setiap kali diadakan pilihanraya.
Rakyat Malaysia secara amnya, dan pengundi di Indera Kayangan khususnya, dimomokkan dengan kisah betapa ganas dan tidak bermoralnya cara berkempen pihak lawan. Seolah-olah, hanya BN sahaja yang bermoral dan berkesantunan ketika berkempen.
Ini dengan sendirinya merupakan suatu tuduhan bersifat menghasut yang sepatutnya boleh didakwa di bawah Akta Hasutan,1948. Namun, BN seolah-olah kebal dalam hal ini.
Selain itu, pihak pembangkang terutamanya Keadilan digambarkan sebagai sebuah parti politik yang berada di zaman kehancuran ekoran ramai ahlinya meninggalkan parti. Sejauh manakah kebenarannya?
Namun, kisah sebegini seolah-olah pernah 'dilakonkan' di Sanggang, Teluk Kemang dan Lunas, kini adegannya sama, cuma lokasinya berpindah ke Indera Kayangan.
Dalam pilihanraya kecil kali ini, turut digembar-gemburkan bahawa pihak pembangkang berada dalam dilema dan pergelutan. Ini adalah suatu lagi tipu muslihat pihak BN untuk memancing undi.
Sebenarnya, seluruh rakyat Malaysia tahu, parti mana yang sedang bergelut dengan krisis kepimpinan, bukan Keadilan atau PAS, jauh sekali PRM mahupun DAP.
Yang sedang berkrisis dengan Team A dan Team B adalah MCA, dan kebetulan calon BN dari MCA.
Cermin-cerminlah diri sebelum menuduh sebarangan! MCA dilanda ribut dan ledakannya akan kembali memuncak selepas 19 Januari ini.
Isu sekolah Cina yang menjadi antara inti utama kempen kali ini adalah suatu masalah atau rintihan masyarakat Cina yang hanya akan dilayan (itupun seketika sahaja) menjelang pilihanraya. Selepas pilihanraya, ia akan 'dikuburkan' oleh BN terutamanya MCA!
BN janganlah berlakon lagi dalam soal sekolah Cina, isu ini sudah tidak laku lagi untuk dijadikan modal oleh pihak BN.
Pengundi Indera Kayangan harus menghantar suatu mesej yang jelas dan berani kepada BN terutamanya MCA bahawa gaya politik lapuk mereka sudah tidak dapat diterima lagi.

