Mahasiswa takut untuk bercakap
Mereka takut untuk bercakap. Takut untuk bersuara dan takut untuk menampil diri. Apakah siswa jenis ini yang akan kita lahirkan nanti dan siapakah yang dipertanggung jawabkan mengujudkan sinario begini terhadap pelajar/siswa hari ini?
Timbalan Naib Canselor (TNC ) USM jelas angkuh, kalau dakwaan dan cerita MYTN (Mahasiswa Yang Tiada Nama) benar.
TNC ini bukan bekas pelajar universiti yang tidak langsung mahu menerima hakikat bahawa pelajar juga ada fikiran, ada ilmu dan ada kematangan, walau pun tidak sematang TNC ini.
Tetapi sekurang kurangnya pelajar ini matang memilih pendapat, matang juga menilai kaedah dan mungkin sedikit bijak membicarakan hak.. Sebab dan agenda TNC ini tidak sukar untuk dibaca dan ditafsir.
Sebagai seorang bapa kepada dua orang anak yang juga pernah belajar di universiti, dan sebagai seorang yang juga pernah menuntut disalah sebuah kolej (sekarang sudah jadi universiti), saya rasa TNC USM ini sudah agak jauh lari dari landasan kerja dan tugas sebagai seorang pendidik.
Beliua juga mungkin sudah agak tergelincir dari alam ilmuan sebagai pemimpin anak anak masa depan. Sebagai TNC ,beliau mungkin boleh diberi pujian oleh kepimpinan dewasa ini. Mendisiplin kan pelajar memanglah tugas dan amanah di universiti.
Tetapi memaksa mereka menerima apa saja yang kita rasa sesuai dan persetujui, mungkin bukan cara yang baik untuk mendisiplinkan mereka. Pelajar sebagai manusia yang ada sedikit ilmu dan kematangan yang boleh membezakan mereka dengan manusia lain, tidak harus diperlakukan seperti murid sekolah rendah atau anak anak tadika. Dan TNC juga bukan guru atau pengerusi taman bimbingan kanak kanak. TNC ada ilmu dan ada hemah.
Ada beberapa cadangan atau pun mungkin hanya kata kata ringan yang ingin saya perkatakan.
Pertama apakah sebab musababnya sejak akhir-akhir ini terlalu ramai pelajar diinstitusi pengajian tinggi yang tidak setuju dengan beberapa tindakan kepimpinan kerajaan dan mendekati kepimpinan parti pembangkang terutama PAS dan Keadilan? Cuba halusi dan kaji pendekatan ini.
Kesombongan dan keegoan yang membuat kita tidak mahu menerima hakikat. Kaji dan halusilah secara sulit dan mendalam. Dan sebagai ahli akademik, lakukan secara orang orang berilmu bertindak.
Kedua kenapa juga sejak akhir-akhir ini pelajar di institusi pengajian tinggi begitu ketara menentang kepimpinan Umno dan mendekatkan diri dengan parti, persatuan atau NGO yang dilihat mendekati Islam, menekankan soal soal keadilan sejagat, demokrasi dan undang undang?
Cari jawapan terhadap beberapa `kenapa dan mengapa ini'.
Dan ketiga kalah benarlah, atau kalau betullah, pelajar ini telah difitnah, atau dihasut, atau diberikan gambaran salah, cuba pula kaji dan halusi fakta fitnah tersebut, gambaran yang mungkin atau kononya tidak tepat dan betul itu atau berita berita yang kononnya didakwa sebagai hasutan itu.
Jangan nanti kita tersilap langkah menilai penilaian anak anak kita ini, atau jangan nanti kita tersilap menilai `kesilapan' anak anak kita ini.

