Parti Keadilan Nasional bimbang campur tangan Menteri Kewangan dalam urusan empat buah bank, seperti didakwa oleh sebuah majalah mingguan luar negara, boleh menyebabkan kebajikan rakyat tergugat.

"Rakyat khususnya para pelanggan bank-bank di kalangan rakyat biasa dan peniaga kecil akan menerima layanan yang lebih buruk akibat daripada penumpuan (pembolotan) tersebut (apabila ia) menjadi satu mega-bank (bank paling besar)," kata kata Ketua Pemuda parti itu Mohamad Ezam Mohd Nor.

Ezam mengulas laporan-laporan majalah Far Eastern Economic Review edisi 22 Februari yang bertajuk 'The Curious Tale of RHB Bank' dan 'A Political Conundrum.'

Dua rencana itu mendedahkan pengaruh menteri itu, Tun Daim Zainuddin, dalam RHB Bank Berhad, Bank Utama Berhad, Eon Bank Berhad dan Kumpulan Arab-Malaysian.

Menurut artikel itu, campur tangan Daim wujud dalam RHB Bank apabila menteri itu membatalkan satu perjanjian yang dikatakan boleh menguatkan nilai saham Pengerusi bank itu, Abdul Rashid Hussain, dan juga memberi faedah kepada pembayar cukai tetapi tindakan Daim itu dikatakan untuk mengeluarkan Rashid daripada bank tersebut.

Bank Utama pula asalnya dijadualkan bergabung dengan Arab-Malaysian Berhad, tetapi pada penghujung Disember lalu, usaha tersebut gagal apabila mereka tidak dapat menentukan isu-isu harga dan kawalan pengurusan.

Januari lalu, Daim meminta seorang ahli perniagaan utama di belakang EON Bank untuk menimbangkan kemungkinan bergabung dengan Bank Utama tetapi akhirnya EON menarik usaha penggabungan itu.

"Dengan penguasaan Daim ke atas bank-bank utama ini, ramai pekerja bank akan dibuang kerja kerana beliau berhasrat menjalankan konsolidasi (penggabungan) dan menutup banyak cawangan," kata Ezam lagi.

Dakwa beliau lagi, langkah menteri tersebut mungkin bertujuan memperluaskan empayar kewangannya dengan menguasai semua bank-bank utama di negara ini.

Ketua Pemuda itu mendesak Badan Pencegah Rasuah agar menyiasat segera dakwaan terhadap Menteri Kewangan seperti dilaporkan majalah tersebut.