Siapa yang bersifat perkauman?
Adakalanya media perdana menyokong pendedahan itu tetapi adakalanya dan saya percaya lebih banyak ialah media perdana menghentam Siva kononnya beliau cuba menjadi jaguh yang memperjuangkan isu diskriminasi perkauman. Yang menjadi persoalannya ialah siapakah yang mengamalkan sifat perkauman?
Harus di fahami Siva adalah setiausaha agung NUTP. Segala apa yang dibangkitkan atau didedahkannya adalah atas kapasitinya sebagai setiausaha agung NUTP bukannya sebagai pemimpin bukan melayu.
Beliau juga memberikan 'press statement' atas kapasitinya sebagai setiausaha agung tetapi pendedahan itu sebenarnya cuba dineutralkan oleh mereka-mereka yang berdiri di atas paksi perkauman sebagai satu pendedahan untuk mencari publisiti murah. Tak masuk akal kenapa Siva perlu mencari publisiti murah padahal dia memang mempunyai kredibiliti dan layak di gelar sebagai seorang pemimpin.
Tidak masuk akal apakah Siva patut mendiamkan diri apabila berlaku kepincangan dalam sistem pendidikan negara hanya kerana isu itu tidak melibatkan kaum melayu?
Apakah Siva hanya akan diterima sebagai pemimpin dalam masyarakat majmuk hanya sekiranya beliau memperjuangkan kaum melayu sebagai kaum majoriti?
Seorang pemimpin yang tulen akan mempertahankan keadilan tanpa mengira bangsa dan agama. Lagi pun apakah masyarakat bukan melayu tidak layak dipertahankan haknya?
Lebih memilukan ialah menteri pendidikan menyatakan bahawa pengasingan pelajar mengikut kaum bukanlah polisi kementerian tetapi hakikatnya pengasingan pelajar mengikut kaum memang berlaku dalam sistem pendidikan negara.
Apakah ini bermakna pegawai-pegawai kerajaan sedang membelakangkan dasar dan polisi kementerian pendidikan dalam mencapai agenda tertentu mereka?
Saya percaya isu ini tidak akan menjadi hangat sekiranya menteri pendidikan tidak mencabar NUTP agar menyenaraikan nama sekolah-sekolah yang terlibat malah menteri pendidikan pula memberi dua pilihan samada memberikan senarai itu kepada beliau sendiri atau mendedahkannya di dalam akhbar.
Sudah tentu NUTP tidak akan mendiamkan diri apabila ia di cabar. Bayangkan NUTP adalah antara organisasi kesatuan pekerja yang terbesar sudah tentu mereka akan menerima cabaran itu.
Tetapi malangnya apabila pendedahan dibuat melalui media wujud pulak individu yang menafikan pengamalan tersebut malah menyerang Siva kononnya beliau mencari publisiti murah.
Mentaliti individu ini menjadi persoalan kepada saya, kenapa Siva pulak yang diserang padahal NUTP yang membangkitkan isu itu. Siva bertindak atas kapasitinya.
Serangan ke atas Siva dengan jelas membuktikan individu-individu ini sebenarnya marah dengan Siva (bukannya NUTP) kerana mendedahkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sebagai guru besar/pengetua dalam mengamalkan pengasingan pelajar mengikut kaum.
Kalau tak ada angin, pokok tak akan bergoyang. Kalau tak ada pengasingan pelajar mengikut kaum kenapa mereka nak takut. Dalam situasi yang sedemikian siapakah yang sebenarnya bersikap perkauman, mereka yang enggan menerima kenyataan dan memperbetulkan kesilapan ataupun Siva yang mendedahkan kepincangan walaupun secara kebetulan mangsa utamanya ialah masyarakat India.
Kalau isu ini dilihat sebagai isu perkauman ia memang akan menjadi isu perkauman tetapi sekiranya isu ini dilihat dari sudut pandangan positif maka individu yang bermentaliti positif dan rasional akan menganggapnya satu pendedahan untuk menimbulkan warga pelajar yang lebih bersatu demi untuk masa depan negara.
Syabas saya ucapkan kepada Presiden, Setiausaha Agung dan barisan Exco NUTP kerana berani menerima cabaran daripada kuasa politik dalam mendedahkan kepincangan sesetengah pengetua dan guru besar.
Saya juga mengucapkan syabas kepada NUTP kerana tidak terpengaruh dengan serangan sesetengah individu kononnya pendedahan ini adalah bersikap perkauman untuk mendapatkan publisiti murah. Teruskan perjuangan atas dasar keadilan tanpa mengenal bangsa dan agama.

