Memanglah diakui bahawa media massa arus perdana sering menyebelahi BN dalam setiap laporannya. Lebih-lebih lagi jika ada kesempatan untuk mengutuk dan memperlekehkan pihak pembangkang, kesempatan sebegini tidak akan dilepaskan.

Fenomena ini menjelma lagi menjelang pilihanraya kecil Indera Kayangan, Perlis yang dijadualkan pada 19 Januari 2002. Namun, apa yang paling dikesali adalah keterlanjuran pimpinan BA terutamanya Mahfuz Omar dalam ulasannya seperti yang disiarkan baru-baru ini.

Ketika ditanya pendapat beliau tentang keputusan DAP untuk tidak turut serta dalam kempen pilihanraya kecil Indra Kayangan kelak, beliau secara lantang dan melulu menuduh DAP sedang 'mengintai-intai peluang untuk menyertai BN'.

Ini adalah suatu fitnah berbentuk libel (kerana direkodkan) yang sangat serius. Tambahan pula kata-kata sebegini diluahkan oleh ketua dewan pemuda PAS. Apakah beliau ingin menyamakan DAP dengan PBS? Hanyalah Mahfuz yang tahu.

Tuduhan Mahfuz bahawa DAP sedang mengintai peluang untuk menyertai BN, cuma kerana DAP tidak mahu terlibat secara langsung dan aktif dalam kempen tersebut, juga menunjukkan betapa jahilnya Mahfuz tentang sejarah politik tanahair.

Di awal tahun 1970-an, parti apa yang termakan janji-janji manis untuk menyertai perikatan dan seterusnya sama-sama mengasaskan BN yang ada hari ini? Jawapannya ialah PAS! Sebaliknya DAP, walaupun diumpan dengan jawatan menteri dalam kabinet persekutuan, tetapi atas dasar perjuangan yang tulen dan prinsip yang teguh tetap kekal sebagai pembangkang sehingga hari ini.

Apakah Mahfuz sudah melupakan sejarah ini? Jangan jadi mudah lupa!

Pemimpin-pemimpin kanan PAS berkewajipan memberitahu dan menyampaikan kisah sejarah silam PAS kepada generasi muda seperti Mahfuz. Apakah mereka juga sudah melupakan sejarah lampau ini?

Mahfuz sepatutnya lebih matang dan berhati-hati dalam mengeluarkan ulasannya. Beliau bukannya tidak tahu bahawa media yang pro-BN akan menggunakan kata-katanya sebagai modal untuk menghentam pembangkang, melainkan beliau memang berniat bersekongkol dalam hal ini.

Belajarlah daripada Azmin Ali, ulasan beliau mennunjukkan kematangan beliau berpolitik dan tahu siapakah musuh yang patut ditangani bersama. Mahfuz harus ingat, lawan sebenar adalah BN bukannya DAP! Masih ada ruang untuk kerjasama di antara parti-parti pembangkang jika kena pada tempatnya.

Di samping itu, keputusan DAP untuk tidak turut bersama dalam kempen kali ini wajar dihormati oleh semua pihak. Janganlah mempolitikkan dan seterusnya mempertikaikan komitmen DAP pula. DAP berhak membuat keputusan sebegini sebagai sebuah parti politik selaras dengan lunas-lunas demokrasi.

Keputusan ini juga dianggap tepat dan rasional, terutamanya dengan senario dan perkembangan politik tanahair dan dunia masa kini.