Saya sungguh terkejut dengan dakwaan Ahmad Lutfi Othman, penulis PAS, kepada BPR yang antara lain menyebut bahawa Menteri Besar Selangor berbohong di Dewan Undangan Negeri bahawa beliau tidak membeli lot banglo seperti yang didakwa oleh Lutfi dalam aduan pertama tersebut.

Saya telah membaca laporan pertama Lutfi kepada BPR dan berada di dalam DUN Selangor ketika Datuk Hassan Ali menyoal mengenai pembelian lot banglo PKNS.

Dalam aduan Lutfi kepada BPR (aduan pertamanya) dan soalan Hassan Ali kepada MB jelas merujuk soal pembelian lot banglo di Shah Alam. Dan MB telah menafikan bahawa beliau membeli lot banglo di Shah Alam.

Sebaliknya, Ahmad Lutfi, dalam laporan keempat beliau mendakwa mempunyai bukti MB Selangor membeli lot banglo PKNS di Bangi. Adalah hak Lutfi untuk mengemukakan laporan baru kepada BPR berdasarkan bukti yang beliau ada.

Tapi yang menyedihkan ialah beliau menuduh seorang menteri besar menipu dan berbohong dalam DUN Selangor.

Bagaimanakah beliau boleh menuduh MB menipu sedangkan beliau sendiri tidak ada bukti MB telah membeli lot banglo di Shah Alam seperti dalam aduan pertamanya kepada BPR?

MB menjawab mengenai tuduhan pembelian lot banglo di Shah Alam. Kemudian bila beliau ubah fakta kes MB beli di Bangi dan mengambil jawapan MB mengenai tuduhan membeli lot banglo di Shah Alam sebagai bukti MB menipu.

Lebih mengecewakan laporan malaysiakini yang selalunya membuat catatan sekiranya terdapat percanggahan fakta antara dakwaan seseorang dengan keadaan, sebenar tidak langsung menyebut mengenai penipuan Lutfi mengenai kedudukan lot Banglo antara Shah Alam dan Bangi.