Lunas: Rakyat mangsa BA-BN
Di Wavre, sebuah kota kecil di pinggir Universiti Katolik Leuven la Neuve, saya telah diketemukan dengan Monsieur Tang, seorang anak muda berumur 24 tahun yang berasal dari kota Saigon, Vietnam.
Kami adalah orang pelarian politik yang telah ditakdirkan menyewa dua bilik di bangunan yang sama di dalam kota kecil ini. Di bawah bilik kami ialah pejabat Monsieur Philip, tempat tuan rumah kami menjalankan perniagaan bunga-bungaan.
Monsieur Tang tinggal di tingkat dua dan saya di bilik teratas. Kami hanya berkongsi bilik mandi, manakala dapur dan bilik makan kami berasingan.
Pada hari pertama, saya telah diperkenalkan secara rasmi dengan Monsieur Tang oleh tuan rumah. Anak muda Vietnam yang memakai dua kayu tupang itu telah menghulurkan tangannya kepada saya. Saya merasakan satu salaman yang ikhlas kerana genggaman yang begitu keras tetapi mesra.
Saya perhatikan kedua kaki Monsieur Tang telah terputus dan dia memakai kaki palsu. Dengan serta-merta saya menyedari bahawa teman baru saya ini seorang mangsa perang. Kami tidak banyak berbual pada hari pertama walaupun saya terlalu ingin untuk mengetahui ceritanya.
Seminggu kemudian, sepulang saya dari Universiti, Monsieur Tang memanggil saya ke biliknya. Pada petang itu, kami berbual panjang. Anak muda ini menceritakan bagaimana sebutir bom telah meletup di pinggir kota Saigon semasa dia pulang dari sekolah. Umurnya ketika itu baru 16 tahun.
Teman sekolahnya mati serta-merta tetapi mujurlah dia dapat diselamatkan. Namun dua kakinya terpaksa dipotong. Enam bulan dia terlantar dihospital. Akhirmya sebelum tentera Amerika mengundur, dia dan keluarganya telah meninggalkan Vietnam dan mendapatkan suaka politik di Belgium.
"Saya tidak percaya pada orang politik. Saya mangsa perang dan mangsa orang politik...,'' inilah kata-kata Monsieur Tang yang penuh sinis, hasil pengalaman pahit hidupnya. Saya tidak akan melupakan perbualan kami pada petang musim luruh 20 tahun dahulu. Ingatan ini telah menjadi sebahagian naratif hidup saya.
Lunas dan Monsieur Tang
Minggu ini, suasana pilihanraya kecil Lunas mengingatkan saya kembali kepada kata-kata Monsieur Tang tentang orang politik. Heboh-heboh di akhbar tentang siapa yang sepatutnya menjadi calon untuk Barisan Alternatif menjadikan saya bertambah sinis dan kecewa terhadap orang politik.
Saya bertambah yakin daripada apa yang saya baca dan apa saya dengar minggu ini, orang-orang politik dari kedua-dua parti - Barisan Alternatif dan Barisan Nasional - tidak pernah memikirkan tentang kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Untuk orang politik, yang mereka pentingkan hanyalah merebut kerusi untuk menjadi wakil rakyat. Untuk mereka, tugas politik dan tugas parti yang mereka anuti, hanyalah berjuang untuk memenangi kerusi pilihanraya.
Sama ada kerusi yang direbut itu mempunyai makna atau tidak seolah-olah tidak pernah mereka fikirkan. Sama ada kerusi yang dimenangi itu akan membawa apa-apa perubahan mungkin tidak terlintas di otak mereka. Apa yang dianggap penting hanyalah bertanding. Untuk apa mereka bertanding walahhu a'lam bissawwab.
Saya memerhatikan bahawa orang-orang politik ini mempunyai fikiran dan perkiraan politik yang cetek. Ucapan mereka tentang rakyat dan orang ramai hanyalah retorik politik. Ucapan-ucapan yang berhamburan dari mulut mereka, hanyalah kata-kata manis untuk memancing undi agar mereka mendapat kerusi.
Dalam perjalanan ke Lunas, Kedah pagi Selasa lalu, saya telah berhenti di Bidor, Perak untuk melegakan kaki. Di sebuah warung teh, saya didatangi sekumpulan penyokong Barisan Alternatif. Mereka mendatangi saya untuk menanyakan siapakah yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil itu.
"Siapa yang akan bertanding, DAP?'' tanya seorang lelaki berketayap putih, yang mungkin seorang ahli PAS, sambil dia memegang erat tangan saya. Jiwa halus saya terusik kerana dari jauh mereka sanggup datang tanpa mengetahui siapakah yang akan menjadi calon BA.
"Yang penting kita lawan," balasnya apabila saya menerangkan kedudukan sebenarnya.
Inilah jiwa dan perasaan rakyat hari ini. Untuk rakyat biasa, mereka tidak lagi menghiraukan parti apa atau parti siapa. Keadaan politik tanahair telah melahirkan suasana baru - satu suasana yang belum pernah timbul sebelum ini.
Paradigma rebut kerusi
Suasana inilah yang mungkin tidak dapat dirasakan oleh orang-orang politik yang masih terperangkap dalam paradigma merebut kerusi. Anggapan ini menjadi lebih kukuh apabila di pagi penamaan calon, saya perhatikan ketidakhadiran pemimpin DAP.
Saya bertambah kecewa apabila media arus perdana dapat menggunakan perebutan kerusi antara Keadilan dengan DAP sebagai modal pilihanraya. Persepakatan pembangkang kelihatan begitu rapuh apabila dilanda ombak kerusi.
Semua ini meyakinkan diri saya bahawa orang-orang politik BA tidak dapat membaca dan menganalisa bahawa peluang mereka untuk menang di Lunas adalah terlalu tipis. Analisa yang melahirkan perebutan kerusi hanya berdasarkan jumlah atau peratus penduduk yang berkemungkinan mengundi atau menyokong mereka.
Mereka gagal memahami bahawa sistem politik yang wujud di negara ini berasaskan lunas-lunas ekonomi. Kepentingan ekonomilah yang menjadi teras dan hukum politik negara ini. Justeru kaum pemodal tidak mungkin akan melepaskan peluang perniagasan mereka kepada "sesiapa yang mereka anggap musuh."
Kaum pemodal juga dibantu oleh syarat dan pelbagai tipu helah licik yang dihalalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Terperangkap dalam perhitungan merebut kerusi ini terus menjadi barah dalam semua parti politik. Persengketaan akan terus muncul. Rakyat biasa yang menggunung harapan mereka untuk mendapat perubahan akan terus berasa kecewa.
Lelaki berketayap putih dari Johor yang saya temui di Bidor itu sanggup membawa satu paradigma baru, dia sanggup meninggalkan perbezaan politik demi menghadapi musuh nan satu. Dia tidak lagi mengira siapa yang akan bertanding. Semua ini gagal dibaca oleh orang yang menguasai politik parti.
Orang-orang politik kelihatan gagal membezakan kayu daripada hutan, dan hutan daripada kayu. Mereka tidak tahu di mana keuntungan jangka panjang dan di mana keuntungan jangka pendek. Atau di mana kepentingan parti wajib ditenggelamkan untuk kesejehteraan bersama.
Di Lunas mereka akan menghadapi dua kekalahan - kalah di peti undi dan kalah kerana bersengketa sama sendiri. "Saya ini mangsa orang politik" ucapan sinis Monsieur Tang yang terputus kakinya masih betul dan tepat.
Waktu ini, kita sebagai rakyat biasa sedang menjadi mangsa orang politik BA dan Barisan Nasional. Kedua-dua kumpulan ini tidak banyak perbezaannya. Mereka semua memberikan kita mimpi bahawa merebut kerusi di Parlimen itu akan membawa perubahan.
Mungkin satu bom politik akan meletup untuk menyedarkan mereka bahawa rakyat telah mengubah paradigma dan bersedia untuk merebut kemenangan dan bukan merebut kerusi bangku.
HISHAMUDDIN RAIS, aktivis pelajar 1974 dan pengarah filem, merupakan penulis kolum mingguan 'Dotmai' di malaysiakini .

