Berita dan keyakinan
Kita telah membaca bagaimana untuk pertama kalinya jual beli di Malaysia telah melintasi angka RM1 trillion. Kita juga telah membaca bagaimana bursa saham kita telah meledak naik ke tahap yang paling tinggi sejak 10 tahun ini. Semua ini kita baca, kita tonton dan dengar dari media arus perdana.
Tetapi umum dan orang ramai TIDAK percaya dan TIDAK yakin terhadap data-data yang dipaparkan.
Ketidakyakinan orang ramai ini telah memaksa Perdana Menteri berulangkali mengatakan angka dan data pertumbuhan ekonomi ini semuanya sahih dan bukan direka-reka. Timbalan PM juga terpaksa mengeluarkan kenyataan yang sama bunyinya.
Kita telah membaca bagaimana untuk pertama kalinya jual beli di Malaysia telah melintasi angka RM1 trillion. Kita juga telah membaca bagaimana bursa saham kita telah meledak naik ke tahap yang paling tinggi sejak 10 tahun ini. Semua ini kita baca, kita tonton dan dengar dari media arus perdana.
Tetapi umum dan orang ramai TIDAK percaya dan TIDAK yakin terhadap data-data yang dipaparkan.
Ketidakyakinan orang ramai ini telah memaksa Perdana Menteri berulangkali mengatakan angka dan data pertumbuhan ekonomi ini semuanya sahih dan bukan direka-reka. Timbalan PM juga terpaksa mengeluarkan kenyataan yang sama bunyinya.
Tidak cukup dengan itu, sebuah akhbar mingguan berbahasa Melayu menemubual Menteri Kewangan Kedua untuk menegaskan kepada umum bahawa negara kita banyak duit dan angka-angka baru yang dikeluarkan itu adalah petunjuk bahawa negara kita dalam kemakmuran.
Di sini saya bukan ingin melihat kesahihan angka dan data pertumbuhan ekonomi tersebut. Apa yang ingin saya lakukan ialah untuk memahami kenapa orang ramai tidak yakin terhadap berita-berita tersebut.
Politik sebenarnya adalah persepsi orang ramai tehadap apa yang sedang berlaku. Persepsi ialah pandangan dan pendapat orang ramai terhadap sesuatu kejadian. Politik bukan membawa hakikat kebenaran. Persepsi politik seseorang bergantung kepada kesedaaran sosial dan pengalaman yang lalu. Pengalaman adalah salah satu daripada punca ilmu pengetahuan, selain daripada membaca dan membuat kajian ilmiah.
Kalau di zaman kerajaaan Melaka, si penyampai maklumat ialah tukang canang yang datang dari istana. Semua berita istana akan dicanang dan dihebohkan kepada orang kampung. Kemudian berita ini akan berjalan dari mulut ke mulut. Apabila tulisan muncul, maka berita dan kenyataan rasmi dari pemerintah akan
disampaikan melalui iklan atau papan tanda. Apabila modeniti sampai, ianya membawa tukang canang baru media akhbar, radio atau TV.
Hukum dan syarat baru
Jika diperhatikan maka telah jelas kelihatan bahawa asas saluran berita dan maklumat yang lama dan yang baru telah sedia wujud dalam kerangka masyarakat kita. Dalam keadaan ceteris paribus (semuanya tidak berubah) maka kerajaan/raja/pemerintah tidak akan menghadapi masaalah dalam menyampaikan maklumat atau berita kepada orang ramai/rakyat/orang bawahan atau sesiapa sahaja. Tetapi modeniti juga melahirkan hukum dan syarat-syarat baru.
Hukum dan syarat-syarat baru inilah yang telah menjerat kerajaan Malaysia hari ini. Saluran media dan berita yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kini tidak diyakini lagi. Ini sebenarnya satu krisis. Atau lebih tepat lagi, satu barah yang sedang dihadapi oleh pentadbiran kerajaan Abdullah Badawi.
Barah hilang keyakinan ini bukan datang dalam sekelip mata. Ianya telah sampai berdikit-dikit. Seperti penyakit barah, ianya wujud kerana beberapa kondisi subur untuk barah menyerang dalam badan, telah sedia wujud. Barah hilang keyakinan ini muncul kerana keadaan dan iklim media dalam negara kita ini telah menjemput barah itu sampai.
Orang ramai tahu bahawa media akhbar, radio dan TV dalam negara kita ini dimiliki oleh kerajaan yang sedia ada. Jika pun ada akhbar yang cuba bergerak bebas, hasilnya gagal kerana setahun sekali akhbar ini
akan dipaksa memohon lesen sebelum dibenarkan mencetak. Stesen radio dan TV adalah mustahil untuk dimiliki oleh individu atau syarikat yang tidak rapat atau tidak menyokong kerajaan yang sedia ada.
Perkara ini telah berlaku begitu lama sekali. Sadikit demi sadikit orang ramai kian sedar bahawa apa yang mereka baca, dengar dan pandang hanyalah propaganda atau berita-berita yang telah ditapis, disaring dengan rapi sekali. Berita dan pandangan yang bercanggah, menyerang atau kritikal terhadap kerajaan yang sedia ada, tidak akan mendapat liputan.
Untuk sekian lama hegemoni kerajaan ke atas berita/maklumat ini telah berlaku dan orang ramai terpaksa menerimanya tanpa ada pilihan. Ketidakpuasan hati orang ramai terhadap media tidak dapat diarahkan. Orang ramai memendam rasa kerana dipaksa menerima gula pahit yang mereka tahu tidak memiliki apa-apa nilai.
Kemunculan internet
Tetapi semua ini telah/sedang berubah. Terima kasih kepada President Ronald Reagan. Si Reaganlah yang telah mengarahkan agar sistem internet dibuka untuk kegunaan awam. Sistem internet ini telah lama wujud di zaman Perang Dingin. Sistem ini dimiliki secara rahsia oleh pihak tentera Amerika dan dimonopoli oleh Pentagon. Kini internet boleh digunakan oleh orang awam.
Sekaligus, dengan kemunculan internet, hegemoni daulah menyampai berita dan maklumat pecah. Monopoli penyebaran maklumat kini bukan hanya dimiliki oleh gergasi media atau media-media milik kerajaan. Pendemokrasian penyampaian maklumat ini adalah satu fenomena yang masih tidak difahami oleh
banyak kerajaan, bukan hanya kerajaan Malaysia , tetapi banyak kerajaan di negara dunia ketiga.
Hari ini pendemokrasian maklumat ini telah membolehkan individu menjadi penerbit, wartawan, penyunting dan penyebar maklumat. Hari ini individu boleh memiliki rancangan radio dan TV sendiri. Hari ini, dari bilik sendiri boleh dijadikan studio filem, studio rakaman dan studio pemancar.
Di negara-negara yang tidak mengamalkan kebebasan media seperti Iran, China, Mesir dan negara kita sendiri, kedatangan internet disambut dan dirayakan. Beratus ribu lamanweb muncul, berpuluh-puluh blog timbul. Penindasan terhadap penyebaran berita yang selama ini mebuatkan berita tersangkut-sangkut atau
hilang hujung pangkal, kini berupaya melancar bebas. Warga tidak perlu lagi merujuk kepada berita-berita rasmi dari kerajaan atau pemereintah.
Inilah iklim yang sedang dihadapi oleh media penyampai berita yang selama ini hanya menghebohkan satu pandangan sahaja. Media internet bukan sahaja bebas, malah lebih pantas untuk menyebar berita. Media pro-kerajaan di arus perdana kini mula menghadapi saingan yang hebat. Lesen cetak dan watikah kebenaran dari pihak yang berkuasa tidak termasuk dalam agenda internet.
Sebenarnya bukan semua laman internet dan blog yang mengeluarkan berita ini boleh dipertanggungjawabkan. Malah bukan semuanya mengeluarkan berita atau laporan yang sahih. Kalau diperhatikan dengan teliti, kita akan membaca banyak blog dan laman internet hanya memaparkan bebelan dan labon-labon kosong dari tuan empunya.
Barah hilang keyakinan
Tuan empunya blog kelihatan tidak memiliki fikrah untuk mengajukan atau membuat laporan saingan berita yang mencabar dan kompak. Kebanyakan blog hanya memangkah kenyataan rasmi kerajaan tanpa memaparkan berita asli yang mereka munculkan dengan kaji selidik yang rapi.
Dengan keadaan yang sedemikian pun blog dan laman internet masih lebih diyakini laporannya berbanding dengan laporan rasmi media arus perdana. Ini terjadi kerana kongkongan dan tekanan ke atas media kita telah menjadikan media arus perdana hilang kewibawaan. Hari ini, tahap kredibiliti media arus perdana kita cukup rendah. Ini tidak pula dibantu oleh kualiti laporan dan kualiti tulisan yang kong kalikong.
Apabila Perdana Menteri bersuara "Apa lagi yang rakyat hendak" ketika data-data pertumbuhan ekonomi negara terus tidak diyakini maka episod ini jelas menunjukkan barah hilang keyakinan warga terhadap laporan kerajaan, telah merebak luas. Keadaan ini sama seperti Kes Sauk/Al-Maunah pada bulan Julai 2000 dahulu. Kes Sauk adalah contoh terbaik di mana laman-laman internet telah berjaya memaparkan Sauk sebagai satu sandiwara yang dipentaskan oleh kerajaan.
Menggunakan polis/hukuman/mahkamah untuk memadamkan blog dan laman-laman internet adalah satu perkerjaan yang sia-sia dan membuang masa. Mengambil tindakan mahkamah terhadap tuan empunya blog tidak akan dapat mengembalikan kredibiliti kerajaan atau media arus perdana.
Harus difahami bahawa internet ini adalah alat komunikasi sama seperti berbual dan berlabon dalam telefon. Apa yang berbeza, 'perbualan' dalam blog ini boleh didengari oleh ribuan orang yang menjadi warga siber. Dengan satu klik kita boleh melayari beribu-ribu laman dan blog. Sebuah mulut tempayan boleh ditutup tetapi hari ini kerana jasa baik Ronald Reagan telah wujud berjuta-juta mulut tempayan.
Tindakan undang-undang terhadap pemilik blog dan laman-laman siber hanya akan menaikkan prestij tuan empunya blog. Malah warga siber akan melihat bahawa tulisan-tulisan dan laporan berita dari blog dan laman internet ini lebih afdal dan saheh laporannya. Justeru jika saya di tanya oleh Perdana
menteri " Apa lagi yang rakyat hendak" , maka saya akan jawab berikan rakyat ruang demokrasi.

